mutakhir

Rezeki lumayan tunggul kayu

Oleh Nor Raidah Awang

Selama: Walaupun tidak memiliki sebarang pembelajaran secara formal dalam bidang penghasilan barangan kraf tangan dan perabot berasaskan kayu, demi minat, seorang pengutip buah sawit di sini, berjaya membuktikan bidang berkenaan mampu menjana pendapatan sampingan.

Pembuat perabot kayu berasal dari kampung FELDA Ijok, Kubu Gajah, dekat sini, Zulbakri Hassan, 62, berkata, pembabitannya dalam penghasilan barangan kraf tangan dan perabot berasaskan kayu bermula sejak 1990 selepas tertarik dengan hasil kreativiti seorang rakan dalam membuat perabot kayu mewah.

Menurut Zulbakri, bidang itu cukup sebati dengan hobinya yang suka masuk hutan mencari tunggul kayu terbuang dan batu hutan, terutama setelah yakin mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

“Saya teruja dengan penemuan kayu yang unik yang mampu memberi pulangan lumayan kepada saya, bukan saja sekitar hutan berdekatan rumah, malah luar dari Perak.

“Biasanya, jika sukar membawa sendiri tunggul kayu, saya akan mengupah orang untuk mengangkut kayu berkenaan menggunakan jentolak, lori dan sebagainya dengan kos upah sekitar RM350,” katanya.

Zulbakri berkata, antara kayu yang sering menjadi pilihannya ialah meranti, merbau, medan wangi, cengal mas dan sebagainya kerana jenis kayu itu lebih tahan lama.

“Untuk proses menukar wajah daripada tunggul kayu terbuang kepada perabot kayu seperti set kerusi meja, bukan sesuatu yang mudah diperkatakan, kadangkala mengambil masa sehingga seminggu bergantung kepada saiz.

“Penghasilan juga ada kalanya mengambil masa hanya dua hari, tetapi perlu mempunyai daya ketelitian yang kuat, tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa,” katanya.

Menurutnya, dia gemar membuat kraf tangan pada waktu pagi kerana lebih sunyi, tambahan pula idea yang datang mencurah-curah pada waktu itu.

“Pembabitan dalam bidang ini sebenarnya lebih kepada aktiviti mengisi masa lapang kerana pada masa lain saya perlu tumpukan kerja sawit.

“Syukurlah keluarga memahami minat dan sering memberi dorongan agar terus memajukan diri dalam bidang ini.

“Setiap perabot yang dihasilkan mempunyai nilai dan makna tersendiri kerana semuanya dihasilkan dengan penuh ketekunan serta keinginan untuk melihat rekaan dihasilkan menarik pada pandangan pemiliknya,” katanya.

Menurutnya, set kerusi dan meja makan dijual sekitar RM1,500 ke atas bergantung kepada harga pasaran semasa.

“Pembeli perabot kayu bukan hanya datang dari sekitar Perak malah dari Kedah, Pulau Pinang dan rakan banyak membantu mempromosikan produknya kepada orang luar.

“Buat masa sekarang, saya terpaksa mengehadkan kualiti perabot yang dihasilkan, selain keadaan bengkel yang sempit.

“Perancangan saya pada masa hadapan adalah ingin menumpukan sepenuhnya perhatian dalam bidang ini dan berharap pihak berkaitan dapat membantu mempromosikan penghasilan kayu ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2015 @ 7:57am
d