mutakhir

Sedia hidangan istimewa

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Kami sudah bersedia menyambut mereka dengan hidangan istimewa," kata Rohana Hamat, 51, yang mengetuai kumpulan memasak bagi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) edisi Ramadan 1436H di Masjid Ar Rahman Kampung Batu Papan, di sini.

Program TKHM yang bermula hari ini akan meraikan 150 anak yatim dan 60 keluarga miskin di Mukim Batu Papan di sini, dengan pemberian sumbangan serta bantuan bagi meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Untuk itu, Rohana berkata, kumpulannya membabitkan 30 suri rumah dipertanggungjawabkan memasak beberapa menu istimewa sebagai juadah berbuka puasa pada majlis kemuncak, esok.

Katanya, antara juadah yang akan disediakan termasuk makanan tradisi Kelantan iaitu teresek dan singgang daging, sup daging, ikan siakap tiga rasa, ulaman dan sambal selain budu.

"Sejak beberapa hari lalu, kami sudah melakukan persiapan dan hari ini (semalam) melakukan persiapan akhir, cuci pinggan mangkuk dan lain-lain lagi.

"Tiada masalah untuk kami uruskan majlis besar begini kerana sudah biasa juga, lagipun kami mengamalkan semangat bergotong-royong.

"Setiap kali ada majlis, kaum ibu di kampung ini akan datang beramai-ramai, kumpul dan bantu mana yang perlu. Insya-Allah kami sudah sedia menyambut mereka.

"Keperluan memasak pun sudah dipastikan mencukupi," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Rohana berkata, dia berbesar hati dapat memasak juadah untuk penerima bantuan dan menganggapnya satu penghargaan daripada pihak Harian Metro yang memilih masjid kampung itu sebagai lokasi majlis.

Bagi pembantu tukang masak, Wan Noraini Zakaria, 52, pula menyifatkan TKHM sebagai istimewa kerana membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang.

"Kunjungan TKHM di sini mampu mengubat kelukaan kami yang terbabit dalam banjir besar, akhir tahun lalu.

"Ia akan menjadi sejarah kepada kami jika dapat mengumpulkan seramai mungkin kaum wanita bergotong-royong memasak nanti," katanya.

Sementara itu, Imam Mukim Batu Papan Ibrahim Ismail berkata, penduduk kampung tidak sabar menanti kunjungan tetamu, malah persiapan akhir juga selesai dilakukan, semalam.

Beliau berkata, semangat kerjasama penduduk yang tinggi juga jelas dalam penganjuran program itu.

Disiarkan pada: June 26, 2015 @ 8:37am
d