mutakhir

Suara bertengkar

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Ayusliza Azizan

Banting: “Kira-kira jam 6 petang saya terdengar mangsa dan adiknya bertengkar di luar rumah, namun tidak mengendahkannya kerana mereka sering dilihat sedemikian sebelum ini.

“Namun jam 8 malam, saya terkejut melihat kehadiran polis di kawasan rumah mereka sebelum mendapat tahu abangnya mati dilibas adiknya di leher menggunakan pisau,” kata lelaki yang mahu dikenali sebagai Adnan, 30-an.

Adnan jiran kepada seorang lelaki yang maut selepas dilibas adik lelakinya dalam pergaduhan di sebuah rumah di Jalan Orkid, Batu 8, Sijangkang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 32 tahun disahkan maut sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dipercayai selepas mengalami pendarahan serius di kiri lehernya.

Difahamkan, kejadian jam 6.30 petang itu dipercayai berpunca daripada teguran suspek yang berusia 27 tahun terhadap mangsa yang dikatakan tidak berpuasa sebelum bertukar menjadi pertengkaran.

Menurut Adnan, mangsa dan suspek menetap di rumah berkenaan lebih 20 tahun lalu bersama seorang lagi adik mereka selepas kematian ibu bapa.

“Suspek seorang yang tidak agresif dan saya percaya dia tidak menyangka libasan pisau pada leher abangnya itu boleh menyebabkan kematian,” katanya, semalam.

Tinjauan di rumah mangsa mendapati ahli keluarga, jiran serta rakan sudah berkumpul untuk menunggu jenazah yang dibedah siasat di HTAR sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Adnan berkata, mangsa jarang berada di rumah, namun sejak Ramadan ini, lelaki terbabit sering kelihatan manakala suspek sememangnya menetap di rumah itu kerana bekerja di sebuah kilang di Teluk Panglima Garang.

Sementara itu, sumber polis berkata, perbuatan suspek menegur mangsa yang tidak berpuasa dikatakan punca pergaduhan.

Mangsa dikatakan menyerang suspek terlebih dulu sebelum ke dapur untuk mengambil besi diikuti suspek yang turut mengambil pisau dan berlaku bergelutan.

“Bagaimanapun pergelutan mereka berakhir selepas mangsa rebah akibat terkena libasan pisau. Mangsa sempat bangun mengambil barang peribadi sebelum meminta seorang rakannya membawanya ke hospital.

“Sebaik tiba di HTAR, pembantu perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” katanya.

Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan polis menyerbu rumah mereka dan menahan suspek serta merampas pisau yang digunakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Zailan Tasir mengesahkan kejadian dan berkata, suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan.

Disiarkan pada: June 26, 2015 @ 8:54am
d