mutakhir

Hidayah Ramadan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: “Setiap kali menjelang Ramadan, saya cemburu melihat rakan dan adik-beradik menunaikan solat secara berjemaah serta mengamalkan hidup seperti satu keluarga dengan bertukar-tukar makanan untuk berbuka puasa.

“Hidayah mula datang kepada saya sejak Februari lalu sebelum membuat keputusan memeluk Islam beberapa hari selepas itu dan bertekad ingin mengharungi Ramadan kali ini sebagai seorang mukmin,” kata Siti Aminah Anjang, 38.

Siti Aminah bersama empat anaknya, Juwira Rizal, 21, Riduan, 19, Noor Edayu,17 dan Nor Azlin,15, antara 28 penduduk kampung Orang Asli di sekitar daerah ini yang diraikan pada Majlis Pengislaman Beramai-Ramai penduduk KOA yang diadakan di KOA Pos Raya, Simpang Pulai, di sini.

Menceritakan mengenai hidayah diperoleh keluarganya itu, Aminah berkata, dia tidak menyangka hatinya secara tiba-tiba mencintai Islam dan secara perlahan dia serta empat anaknya mula mempelajari ajaran agama itu.

Katanya, sejak mula mendalami Islam, semua anaknya jatuh cinta pada Islam dan memintanya mempercepatkan proses pengislaman kerana ingin bersama-sama rakan menunaikan ajaran Islam.

Aminah yang juga seorang ibu tunggal selepas kematian suami beberapa tahun lalu berkata, Islam adalah agama yang cukup sempurna dan hatinya begitu tenang setiap kali cuba mempelajarinya, tambahan pula ketika melafazkan syahadah.

“Kebanyakan adik-beradik saya yang lain sudah memeluk Islam, namun hidayah datang lambat kepada keluarga saya, namun saya bersyukur kerana Ramadan tahun ini membawa sinar ketenangan yang tidak pernah saya rasai sepanjang 38 tahun hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di KOA Pelantok, Ulu Kuang, di sini.

Disiarkan pada: June 26, 2015 @ 8:56am
d