mutakhir

Usah mudah percaya media sosial

Kuala Terengganu: Rakyat dinasihatkan tidak mudah mempercayai dakwaan di jaringan media sosial yang membuka banyak ruang fitnah dan pembohongan terutama memburukkan kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, jaringan berita tanpa sempadan menyebabkan banyak maklumat dan perkara diputarbelitkan selain pembohongan berleluasa yang jika tidak dijawab dengan segera menyebabkan rakyat mudah percaya.

Beliau berkata, sebagai contoh, isu hutang negara yang diputarbelitkan pihak tertentu menyebabkan rakyat memberi persepsi negatif terhadap kerajaan sehingga ada yang lantang menghina dan mengkritik pemimpin biar pun tidak mengetahui fakta sebenar.

“Kita patut bersyukur dan insaf betapa kita hidup dalam sebuah negara yang aman kerana mempunyai sebuah kerajaan yang begitu mantap dan mentadbir dengan baik.

“Walaupun macam-macam orang kata, sebagai contoh ada orang kata negara kita ini akan bankrap kerana ada hutang RM744 bilion sedangkan apa yang berlaku sebenarnya ialah pengiraan hutang ini tidak sama dulu dan sekarang.

“Sejak 2014, pengiraan hutang negara merangkumi hutang perseorangan, hutang swasta, hutang syarikat awam, hutang orang luar yang membeli bon di negara kita dimasukkan sekali sebagai hutang negara. Sebab itu jumlahnya tinggi sehingga RM744 bilion.

“Tetapi pihak tidak bertanggungjawab menggunakan data ini untuk mengatakan negara kita ini akan menjadi negara bankrap sedangkan daripada RM744 bilion itu, hutang sebenar kerajaan hanya dua peratus iaitu RM16.8 bilion,” katanya selepas majlis berbuka puasa anak yatim bersama JASA di sini, kelmarin.

Mohd Puad berkata, apa yang paling nyata ialah kerajaan tidak berhutang dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF), sekali gus mematikan fitnah dan pembohongan di Internet mengenai hutang negara yang tinggi.

“Rakyat dibohongi sehingga timbul cerita negara bankrap sedangkan keadaan sebenarnya ekonomi negara kita kukuh,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2015 @ 5:25am
d