mutakhir

Sah letak semua jawatan

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang Datuk Khairul Anwar Rahmat mengesahkan melepas semua jawatan di dalam UMNO berkuat kuasa 11 Julai ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Unit Komunikasi Korporat Khairul Grup kepada media semalam, Khairul Anwar yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam Malaysia (SUKAGUAM) akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor dan Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Pusat berkuatkuasa pada tarikh sama.

Khairul Anwar berkata, keputusan itu diambil selepas mendapat restu ibunya melalui perbincangan secara mendalam bersama ahli keluarga dan beliau berharap ia dapat diterima baik oleh rakan seperjuangan.

“Serentak dengan peletakan jawatan ini, saya meneruskan operasi Firma Khairul Grup ke Asia Barat dan Eropah yang tertangguh sebelum ini akibat pembabitan secara aktif di dalam politik tempatan khasnya UMNO.

“Semoga langkah terbaru ini dapat memberi manfaat kepada firma ini terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi antarabangsa,” katanya.

Khairul Anwar turut berterima kasih di atas segala nasihat dan dorongan yang diberikan ketika beliau berkecimpung secara aktif dalam parti sebelum ini selain mengharapkan doa daripada rakan seperjuangan supaya berjaya dalam lapangan kerjayanya.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang Datuk Sharifah Azizah Syed Zain ketika dihubungi terkejut dengan keputusan yang diambil Khairul Anwar kerana beranggapan beliau ada banyak idea bernas untuk diketengahkan.

“Bagaimanapun, saya yakin keputusan yang dibuat itu sudah difikir sebaik-baiknya untuk masa depannya. Sebagai kakak di dalam UMNO Kluang, saya berharap beliau terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khasnya di Kluang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Md Jais Sarday ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan peletakan jawatan ini kerana belum mendapat sebarang surat rasmi dan hanya mengetahuinya melalui media sosial.

Disiarkan pada: June 28, 2015 @ 5:26am
d