mutakhir

Pergi jua akhirnya

Oleh Nazri Abu Bakar

Masjid Tanah: Selepas dua tahun menderita pesakit kanser usus tahap empat Norhayati Abd Rahim, 46, meninggal dunia di kediamannya di Pekan Masjid Tanah, di sini, pada jam 3.15 petang semalam.

Difahamkan tahap kesihatan Norhayati semakin merosot sejak beberapa hari lalu kesan kanser dihidapinya dan ketika menghembuskan nafas terakhir suami Hashim Daud ,47, dan empat anak arwah Mohd Wafiq, 16, Nurin Fatini, 15, Hazim, 12, dan anak bongsu Nafis, 7, berada di sisinya.

Kakak arwah Hamidah Abd Rahim, 49, berkata, dia dan keluarga reda dan menerima pemergian Norhayati dengan tenang serta menganggap perkara itu sebagai ketentuan ditetapkan Allah SWT.

“Kami sekeluarga amat terharu dengan sokongan daripada pelbagai pihak yang tampil melawat arwah selepas kisah penderitaan dan kegigihan adik ipar saya yang sanggup berhenti kerja demi menjaga Norhayati disiarkan Metro Ahad, Ahad lalu.

“Sebagai kakak saya juga amat terharu dengan kunjungan pelbagai pihak ke kediaman kami semata-mata untuk memberikan kata-kata semangat kepada arwah agar terus bertahan untuk melawan kanser,” katanya.

Sementara itu suami arwah berkata, dia dan anak-anak menerima pemergian arwah dengan hati yang tenang walaupun harapan untuk melihat isterinya itu pulih seperti biasa kini hanya tinggal kenangan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu terutamanya memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada arwah agar dia terus kuat untuk melawan penyakit yang dihidapinya sebelum ini.

“Saya juga agak terkilan kerana sumbangan kerusi roda daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin diterima pagi tadi (semalam), tidak sempat digunakan arwah selepas dia pergi meninggalkan kami semua petang tadi (semalam),” katanya.

Hashim berkata, selepas ini dia akan meneruskan hidup dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada empat anaknya hasil perkahwinan dengan arwah dan berharap roh Norhayati ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Ketika sihat Norhayati, seorang yang ceria dan disenangi rakannya, ia menyebabkan ramai yang terkejut selepas Metro Ahad melaporkan keadaannya menjadi kurus kering dan hanya terlantar akibat kanser usus.

Walaupun sudah menjalani lebih 12 kali rawatan kimoterapi, kaedah perubatan moden itu tidak memberikan sebarang perubahan kepada Norhayati, namun sebagai suami Hashim tetap mengharapkan keajaiban agar isterinya itu mampu pulih seperti biasa

Ahad lalu Metro Ahad menyiarkan artikel sempena Sambutan Hari Bapa menceritakan mengenai kegigihan Hashim yang sanggup berhenti kerja sebagai pelukis pelan di sebuah agensi kerajaan semata-mata untuk meluangkan masa yang lebih bagi menjaga Norhayati.

Dia terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk mengutip tin dan besi buruk bagi menampung perbelanjaan persekolahan empat anak serta kos perubatan untuk isterinya yang memerlukan RM3,500 setiap bulan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Solok Hujan Panas, Masjid Tanah, selepas solat Isyak semalam.

Disiarkan pada: June 28, 2015 @ 5:26am
d