mutakhir

Berganti nyawa

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Miri: Seorang remaja lelaki sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan rakannya yang hampir lemas akibat terjatuh dalam sungai dalam kejadian di Terminal Penumpang Kuala Baram, di sini, semalam.

Kejadian jam 5.15 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Sazali Ibrahim, 15, lemas apabila pautannya pada tiang terminal terlepas menyebabkannya hanyut sebelum mayatnya ditemui di tempat kejadian pada jam 9.05 pagi.

Menurut sumber, mangsa bersama lima rakan melepak atas motosikal di tepi terminal penumpang dalam keadaan enjin motosikal dihidupkan.

Katanya, tiba-tiba seorang rakan mangsa, Mohammad Fadlie Berahim, 15, dikatakan terpulas pendikit minyak menyebabkan motosikal bergerak dan terjatuh ke dalam Sungai Kuala Baram.

“Biarpun tidak pandai berenang, mangsa yang panik melihat rakannya terjatuh segera terjun untuk menyelamatkan Mohammad Fadlie.

“Sebaik menyelamatkan rakannya, mangsa cuba berpaut pada tiang terminal sebelum mangsa yang dipercayai kepenatan terlepas pautan pada tiang itu sebelum terus tenggelam dalam sungai,” katanya.

Menurutnya, menyedari kejadian itu, lima rakan mangsa yang lain segera pergi ke masjid berhampiran meminta pertolongan untuk menghubungi talian kecemasan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 5.25 pagi.

Beliau berkata, satu jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemui empat jam kemudian oleh nelayan di lokasi kejadian menggunakan kaedah rawai apabila mata kail tersangkut pada baju mangsa.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Miri bagi dibedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2015 @ 5:29am
d