mutakhir

Cabaran perantau berpuasa

Kuala Lumpur: Merindui untuk mengunjungi bazar Ramadan selain menikmati masakan tanah air. Itu antara cabaran perlu ditempuh pelajar Malaysia yang berpuasa di bumi asing.

Mereka bukan saja perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup negara asing malah berpuasa untuk satu tempoh yang panjang.

Bagi pelajar perubatan di Universiti Penyelidikan Perubatan Nasional Russia, Mohd Hazwan Asyraf Md Top, 25, walaupun menetap di negara itu hampir enam tahun tetapi tahun ini kali pertama dia berpuasa di negara asing.

“Tempoh masa 20 jam antara cabaran perlu ditempuhi kami di sini selain memasak sendiri makanan berbuka.

“Tidak seperti di Malaysia yang meriah dengan bazar Ramadan, kebanyakan pelajar di Russia memasak sendiri makanan halal berikutan minoriti penganut agama Islam di sini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Pelajar tahun akhir itu berkata, mereka mula berpuasa jam 2 pagi, berbuka jam 9.20 malam dan bersahur empat jam kemudian.

“Kebanyakan pelajar di sini tidak bersahur kerana perbezaan masa hanya empat jam, selepas berbuka, perut masih kenyang sebelum kami tidur,” katanya.

Bagi Badrul Amirul Amin Bukhari, 23, pelajar jurusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Mu’tah, Jordan tempoh berpuasa 16 jam tidak begitu terasa berikutan cuaca agak berangin ketika ini.

“Di Jordan, masyarakat di sini lebih memeriahkan bulan Ramadan berbanding Aidilfitri. Ketika Ramadan penduduk memasang pelita dan menghias rumah mereka.

“Kemeriahan menyambut Ramadan begitu terasa, malah beberapa pelajar Malaysia turut membuka bazar Ramadan di bumi Jordan dengan menjual pelbagai juadah makanan dan kuih tradisi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, selain dapat beribadat, bulan Ramadan adalah peluang pelajar Malaysia menjana pendapatan selain rezeki mereka melimpah ruah kerana penduduk Arab suka memuliakan tetamu dengan menjamu makan.

Disiarkan pada: June 29, 2015 @ 5:13am
d