mutakhir

Kerajaan Pahang sedia hulur bantuan

Jerantut: Nasib bayi kembar Mohamad Naufal Raqib dan Mohamad Nazmi Raqib Rosdee, berusia sembilan bulan, dari Taman Jaya, di sini, mengalami masalah pernafasan kronik turut mendapat perhatian kerajaan Pahang yang akan mendapatkan maklumat lanjut dalam usaha menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap mengenai status kembar terbabit dan latar belakang keluarga berkenaan.

“Saya akan minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumah keluarga berkenaan mendapatkan maklumat lengkap mereka.

“Jika kembar terbabit masih belum menerima sebarang bantuan, pihak kerajaan negeri akan segera memberikan bantuan sewajarnya untuk meringankan beban mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan mereka yang memerlukan bantuan, cuma kekurangan maklumat selain latar belakang tidak lengkap menyukarkan pihaknya menyalurkan bantuan.

Menurutnya, mengenai status kembar terbabit, jika maklumat lengkap diterima nanti, pihak kerajaan negeri akan segera menyalurkan bantuan bersesuaian contohnya seperti bantuan ‘one off’ kepada keluarga dan bayi malang itu.

Harian Metro kelmarin melaporkan nasib malang menimpa kembar lelaki terbabit apabila mengalami masalah pernafasan kronik ketika berusia sebulan.

Disiarkan pada: June 29, 2015 @ 5:25am
d