mutakhir

Kemelut meruncing

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Krisis MIC kian meruncing apabila Datuk Seri G Palanivel, semalam mengumumkan pemilihan presiden parti akan diadakan pada September.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009, di sini semalam, presiden parti itu berkata, pemilihan cawangan akan diadakan dari 24 hingga 26 Julai dengan pencalonan ditetapkan pada 15 dan 16 Julai.

Mengadakan pemilihan adalah satu daripada enam resolusi diluluskan oleh CWC pada mesyuaratnya.

Palanivel yang membacakan kenyataan kepada pemberita berkata, CWC membuat teguran keras dan mengingatkan timbalan presiden yang digantung, Datuk Seri Dr S Subramaniam daripada berperanan sebagai pemangku presiden MIC.

Beliau berkata, tiada mana-mana anggota MIC boleh mendakwa atau memperakui Dr Subramaniam sebagai pemangku presiden.

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, CWC akan menulis surat kepada semua pengerusi cawangan dengan kadar segera, mengarahkan mereka untuk tidak melayani apa-apa perkara, termasuk permintaan bagi pencalonan berkaitan dengan pemilihan daripada Dr Subramaniam.

Mesyuarat CWC juga membuat resolusi bahawa Datuk S Sothinathan yang didakwa oleh Palanivel ialah setiausaha agung, akan mengambil semua langkah perlu untuk mendapatkan semula pemilikan ibu pejabat MIC daripada ‘penghuni tidak sah’.

Palanivel berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memperoleh semula pemilikan semua aset parti termasuk Universiti AIMST, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Kolej TAFE, Koop Didik dan Yayasan Pemulihan Sosial.

Ketika diminta mengulas mengenai jawatan beliau sebagai presiden MIC, Palanivel berkata, beliau masih presiden parti yang sebenar dan surat daripada Pendaftar Pertubuhan yang memperakukan beliau bukan lagi anggota MIC disalah tafsir.

Dr Subramaniam mendakwa beliau kini pemangku presiden MIC kerana Palanivel hilang keanggotaan selepas beliau dan empat yang lain membawa perkara berkaitan parti ke mahkamah.

Dr Subramaniam mengumumkan pencalonan bagi pemilihan cawangan akan diadakan pada 10, 11 dan 12 Julai dan pemilihan seminggu selepas itu pada 18 Julai.

Krisis MIC timbul susulan wujud perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan notis pada 5 Disember tahun lalu mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota CWC.

ROS membatalkan pemilihan diadakan pada November 2013 selepas menerima aduan berlaku penyelewengan.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 9:54am
d