mutakhir

Samseng buli warga emas

Oleh Siraj Mohd Zaini

Subang Jaya: Seorang pemandu kereta samseng bertindak ganas membuli dengan memukul kepala seorang lelaki warga emas.

Kejadian yang berlaku berhampiran kawasan Summit USJ, di sini, bagaimanapun sempat dirakam seorang pemandu kenderaan lain sebelum menjadi viral di media sosial.

Berdasarkan video berdurasi 3 minit 56 saat itu, insiden bermula selepas mangsa yang memandu kereta lama model Ford dihimpit suspek yang memandu kereta model Nissan Sentra.

Tindakan itu menyebabkan mangsa memberhentikan kenderaan di tengah jalan selepas keretanya dirempuh dari belakang oleh suspek.

Suspek lelaki berusia 40-an itu kemudiannya keluar dari kenderaan sebelum bertindak menengking mangsa yang masih berada di dalam kereta.

Insiden bertambah tegang apabila suspek bertindak menarik rambut mangsa menumbuknya.

Mangsa yang keluar dari kenderaan sekali lagi dipukul suspek di kepalanya hingga menyebabkan orang awam masuk campur untuk menyelamatkan mangsa.

Seorang lelaki dilihat menerpa ke arah suspek selepas tidak berpuas hati terhadap tindakan ganas suspek memukul mangsa.

Suspek bagaimanapun beredar meninggalkan lokasi selepas mendapati orang ramai mengepungnya. Malah keluarga suspek turut campur tangan dengan membela ‘kaki buli’ itu.

Meskipun video yang tersebar itu tidak mempunyai sebarang audio, rata-rata pengguna media sosial menyelar tindakan suspek.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dan mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

“Kita terima laporan polis daripada kedua-dua mereka berhubung insiden yang dikatakan berpunca pelanggaran kenderaan dipandu di lokasi kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 10:06am
d