mutakhir

Tangan terbelah

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: “Saya meraung sekuat hati apabila terlihat telapak tangan terbelah dua,” kata Muhammad Fikri Sabri, 12, yang hampir putus tangan kanan selepas terkena letupan mercun bola di Kampung Bukit Tunggal, di sini.

Mangsa yang ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam Jumaat lalu, dia bermain mercun bersama rakan lain di kawasan berhampiran rumah.

“Saya dapat mercun itu daripada rakan. Ketika sumbu dibakar, saya tak perasan ia hampir meletup.

“Belum sempat saya membaling, mercun itu meletup menyebabkan tangan kanan berdarah manakala telinga pula berdesing kuat,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia tidak mampu menahan kesakitan menyebabkannya meraung sekuat hati sebelum meminta rakan mendapatkan bantuan keluarga.

“Darah terus keluar sebelum ahli keluarga segera membalut dengan kain bagi menghalang pendarahan terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Sabri Ali, 45, berkata, ketika kejadian, dia menunaikan solat Tarawih di masjid berhampiran dan segera pulang ke rumah selepas mendapat tahu kejadian itu daripada ahli keluarga.

“Saya panik selepas melihat tangan anak terbelah dua akibat letupan mercun itu. Tanpa berlengah saya membawanya ke HSNZ sebelum ditahan wad untuk menjalani pembedahan dan mencuci belerang di tangan.

“Mujur doktor dapat mencantumkan semula cebisan daging telapak tangan anak, namun saya tidak pasti tangannya mampu sembuh atau tidak sebelum menduduki peperiksaan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah),” katanya.

Menurutnya, dia langsung tidak menyangka kejadian itu menimpa anaknya sendiri.

“Sudah beberapa kali saya melarang Muhammad Fikri supaya menjauhkan diri daripada bahan letupan itu. Mujur nyawanya tak melayang,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 10:25am
d