mutakhir

Ajal tersepit rempuh pokok

Bagan Serai: Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh pokok di Kilometer 7, Jalan Siakap, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.40 petang, Nooridah Nanyan, 50, maut di tempat kejadian akibat parah dan tersepit di bahagian pemandu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Bagan Serai menghala ke Kuala Kurau dan dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh pokok.

“Mangsa tersepit disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan polis meminta bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau untuk mengeluarkan mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar, di sini, untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Hairy, 30, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Simpang Tiga, Kuala Kurau ke Bazar Ramadan Bagan Serai memberhentikan motosikalnya sebaik melihat kemalangan itu.

“Saya cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal berbuat apa-apa kerana mangsa tidak sedarkan diri dan tersepit dalam kenderaannya.

“Saya menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian itu dan sementara menunggu pasukan penyelamat tiba, beberapa orang yang berada di kawasan terbabit berusaha mengeluarkan mangsa, namun tetap gagal,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 10:42am
d