mutakhir

Trauma cedera seluruh badan

Putrajaya: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun didera ibu tirinya di Rantau Panjang, Kelantan trauma akibat beberapa kesan kecederaan di seluruh badan.

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim berkata, antara kecederaan dialami mangsa termasuk retak rusuk kiri, tulang belakang membengkok akibat tolakan kuat atau terjatuh dari tempat tinggi, kesan patah yang hampir sembuh, beberapa kesan luka di kepala dan badan serta kesan puntung rokok di kemaluan.

“Saya terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku. Saya sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan siasatan lanjut dan pelindung JKM negeri jajahan Pasir Mas, Kelantan sudah melawat mangsa di Hospital Raja Permaisuri Zainab II, Kelantan.

“Temu bual bersama ibu kandung mendapati dia hanya berjumpa kanak-kanak itu pada Ramadan 2014 dan pada ketika itu tiada kesan penderaan seperti yang dinyatakan,” katanya.

Rohani berkata, hasil siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu bercerai pada 2013 dan kanak-kanak itu di bawah jagaan bapa kandung.

Selain itu, katanya, khidmat kaunseling dan bimbingan untuk mengendalikan kes ini kepada ibu kandung disediakan JKM supaya kanak-kanak ini dapat dijaga dengan sempurna.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan perintah jagaan sementara akan diambil selepas kanak-kanak itu selesai menjalani rawatan kerana kanak-kanak itu didapati tidak boleh banyak bergerak,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 11:14am
d