mutakhir

Jalan sehala lancar pergerakan trafik

Petaling Jaya: Pelan jalan sehala di pusat bandar raya ini bakal dilengkapkan dengan beberapa perancangan pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan penduduk tanpa perlu memandu kenderaan sendiri.

Pembangunan itu selaras dengan matlamat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjimatkan kos pengangkutan penduduk yang menuju ke pusat bandar, sekali gus sebagai penyelesaian kepada rungutan segelintir pihak yang masih belum memahami sepenuhnya haluan jalan sehala.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohd Azizi Mohd Zin berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk dan mereka yang bekerja di Petaling Jaya mengenai jalan sehala yang menyusahkan pergerakan mereka.

“Orang ramai perlu tahu jalan sehala di pusat bandar masih belum siap sepenuhnya dan memerlukan kesabaran semua pihak untuk menyesuaikan diri dengan landskap baru pusat bandar sehingga kerja pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.

“Tidak dinafikan penduduk mungkin perlu memandu agak jauh daripada sebelum ini untuk sampai ke destinasi, namun dari sudut positif kesesakan lalu lintas di pusat bandar semakin baik dan lancar,” katanya pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBPJ, di sini, semalam.

Antara perancangan pengangkutan lain bagi MBPJ mencapai pembangunan mampan adalah cadangan tambahan dua laluan PJ City Bus secara percuma sebagai usaha memperluas jalan sedia ada yang akan menghubungkan ke kawasan sekolah tidak lama lagi.

Selain itu, MBPJ dalam proses perancangan menyediakan lima laluan bas transit yang akan berhenti di perhentian khas di pusat perhentian bas utama dan sistem ‘Feeder Bus’ iaitu penggunaan bas mini yang boleh memasuki kawasan perumahan sempit.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 11:16am
d