mutakhir

Dendam tolak pinangan

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: Berang pinangannya ditolak, seorang lelaki bertindak gila apabila dipercayai membakar rumah bapa bekas teman wanitanya di Taman Zainan Indah, Geliga di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama anaknya tiada di rumah kerana berada di Kuantan, Pahang.

Menurut sumber, apabila pulang ke rumahnya jam 2.30 petang, mangsa terkejut mendapati beberapa pakaian dalam bakul plastik di belakang rumahnya mempunyai kesan terbakar.

“Mangsa baru menyedari bahagian bumbung rumahnya terbakar, tetapi dipadamkan bomba,” katanya, semalam.

Sumber itu berkata, mangsa mengesyaki kebakaran itu dicetuskan suspek kerana lelaki itu pernah mengugut mahu membakar rumah menerusi mesej WhatsApp kerana menolak pinangannya beberapa hari sebelum kejadian.

“Pada Ahad lalu, anak mangsa berusia 19 tahun turut menerima panggilan telefon daripada lelaki berusia 23 tahun itu yang mengugut mahu memukulnya jika enggan berjumpanya atau sekiranya mempunyai kekasih lain.

“Ia menguatkan tanggapan mangsa yang suspek adalah dalang di sebalik kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Susulan laporan dibuat kelmarin, polis kini memburu suspek dipercayai bersembunyi,” katanya.

Pegawai Kanan Bomba 11 Azmi Ab Rahim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman dan Cheneh Bharu bersama 16 anggota bergegas ke tempat kejadian jam 9.15 pagi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 11:18am
d