mutakhir

Nasi lemak judi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Nasi lemak judi. Itu menu ditawarkan premis perjudian di sekitar Bandar Parklands, di sini, bagi memastikan pelanggan terus ‘melekat’ di depan komputer riba tanpa perlu berhenti berjudi bagi membeli juadah.

Selain itu, ada premis yang turut menawarkan pelbagai makanan dan minuman ringan kepada ‘tahi judi’ supaya meneruskan permainan dan melabur lebih banyak wang taruhan.

Namun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan serbuan serentak Ops Dadu di empat premis di kawasan berkenaan tengah malam semalam.

Dalam operasi bermula jam 11.30 malam dan berakhir 12.30 tengah malam itu menahan 31 individu ditahan berusia 20-an hingga 40-an di dalam premis berkenaan.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor Deputi Superintendan Abdul Ghofar Ahmad berkata, daripada keseluruhan yang ditahan, sembilan daripadanya bekerja sebagai penjaga premis iaitu empat lelaki dan wanita warga Indonesia dan seorang wanita Vietnam.

Beliau berkata, seramai 22 pelanggan turut ditahan ketika asyik berjudi dan tidak sempat melarikan diri. 20 daripadanya adalah lelaki tempatan dan dua lelaki Indonesia.

“Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas wang tunai RM1,444 dan 84 set komputer riba dari empat premis berkenaan yang digunakan dalam aktiviti perjudian,” katanya.

Katanya, risikan mendapati premis dibuka mengikut ‘angin’ sekiranya yakin tiada sebarang operasi yang akan dijalankan pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

Menurutnya, polis juga mendapati penjaga premis berkenaan hanya akan membenarkan pelanggan saja untuk masuk dan berjudi kerana bimbang aktiviti haram mereka dapat dihidu pihak berkuasa.

“Semua individu yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk disiasat mengikut Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1963 bagi warga asing yang ditahan,” katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 11:20am
d