mutakhir

Rampas tak kira bulan puasa

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur

Bulan puasa tidak menghalang pasukan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia memperhebatkan usaha melumpuhkan rangkaian sindiket penyeludupan rokok menerusi serbuan Op Outlet di seluruh negara.

Bagi tempoh 22 Jun hingga kelmarin, kastam melakukan operasi di enam negeri iaitu di ibu negara, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Pahang dengan menyasarkan memburu peruncit tidak bertanggungjawab bersekongkol menjual rokok seludup.

Hasil operasi itu, tiga lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan ditangkap manakala 200 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1,000 dirampas.

Dalam serbuan kastam di Taman Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan seorang lelaki tempatan ditahan reman untuk membantu siasatan selepas pihak berkuasa menemui 40 kotak rokok seludup pelbagai jenama di kedainya.

Di Melaka, seorang peruncit dibawa ke pejabat kastam untuk siasatan lanjut apabila disyaki memiliki 21 kotak rokok seludup di premis di Jalan Murai Jaya 3, Taman Murai Jaya di Durian Tunggal.

Di Kuala Lumpur, tindakan seorang lelaki Aceh, Indonesia berusia 26 tahun menjual rokok seludup mengundang padah apabila dia ditangkap dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Bendahara 9 Kampung Bendahara, Batu Caves.

Seorang penjaja di Jalan Sungai Tua, Batu Caves pula sanggup meninggalkan gerai bergeraknya sebelum pemeriksaan lanjut penguat kuasa menemui antara 50 hingga 60 kotak pelbagai jenama yang dirampas untuk menjadi bahan bukti.

Sejumlah kotak rokok seludup pelbagai jenama juga dirampas dalam serbuan kastam menerusi Op Outlet di sebuah premis di Jalan Baru Batu Maung, Pekan Batu Maung di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Di Perak, seorang lelaki ditahan reman untuk siasatan lanjut selepas pemeriksaan di premisnya di Jalan Aman, Mambang Di Awan, Kampar menjumpai kotak rokok seludup.

Op Outlet dilaksanakan kastam menahan seorang wanita yang juga pemilik emis di Taman Perindustrian Temerloh, Mentakab, Pahang selepas dia disyaki memiliki lapan karton rokok seludup.

Operasi berkenaan adalah usaha berterusan kastam mengurangkan ketirisan hasil cukai rokok seludup iaitu daripada RM1.84 bilion kepada RM1.6 bilion setiap tahun.

Sehubungan itu, amaran keras kepada peruncit tidak membeli atau menjual rokok seludup dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat membuat aduan kepada kastam.

Kastam mengkaji mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang memiliki atau terbabit dengan kegiatan penyeludupan, penjualan dan perdagangan rokok seludup pada masa depan.

Disiarkan pada: June 30, 2015 @ 5:02pm
d