mutakhir

Empangan utama masih di paras selamat

Kuala Lumpur: Empangan utama di seluruh Semenanjung Malaysia masih dalam tahap selamat meskipun negara kini mengalami cuaca panas.

Tinjauan Bernama di Selangor mendapati paras air di tujuh empangan termasuk satu kolam takungan di negeri itu tidak menunjukkan kadar yang membimbangkan dan konsisten setakat jam 8 pagi, semalam.

Menurut statistik laman web rasmi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), empangan terbesar iaitu Langat mencatatkan kadar 65.11 peratus (22.20 juta liter padu) manakala Sungai Selangor 80.74 peratus atau 185.7 juta liter padu.

Empangan Batu pula mencatat bacaan 69.68 peratus (22.27 juta liter padu), Klang Gates (79.71 peratus atau 20.19 juta liter padu), dan Semenyih (99.94 peratus atau 59.04 juta liter padu).

Sungai Tinggi menunjukkan bacaan paras air 77.42 peratus atau 88.64 juta liter padu dan Tasik Subang (98.96 peratus atau 4.16 juta liter padu).

Sementara itu, Kolam Takungan Sungai Labu (ORS) pula memberi bacaan 87.79 peratus atau 8.01 juta liter padu air.

Ketujuh-tujuh empangan di seluruh negeri Selangor itu menyalurkan bekalan air kepada pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri berkenaan.

Di Seremban, bekalan air di tujuh empangan di negeri itu juga terkawal, dan bekalan mencukupi untuk keperluan penduduk di Negeri Sembilan.

“Berkenaan cuaca panas, pihak kami masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan kami akan membuat pengiraan semula untuk memastikan cuaca panas yang melanda negara kita sekarang tidak menjejaskan keperluan air penduduk di negeri ini,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail.

Sementara itu di Kedah, paras air tiga empangan iaitu Empangan Pedu, Empangan Beris dan Empangan Ahning mencukupi dan tidak terjejas bagi menghadapi musim panas yang dijangka berlanjutan sehingga Ogos.

Jurutera Kanan Pengurusan Empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Zamani Zainol berkata paras air bagi ketiga-tiga empangan setakat ini adalah 71 peratus.

Kapasiti air untuk kegunaan harian di Kelantan juga dilaporkan mencukupi.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Shahimi Sharif berkata, setakat ini jabatan itu masih tidak menerima aduan daripada pengguna berhubung kekurangan air.

Di Perlis, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri meminta penduduk negeri itu supaya berjimat cermat dalam penggunaan air.

Timbalan Pengarahnya Mohd Nor Hafiz Noor Azmi berkata, setakat hari ini, paras air di empangan Timah Tasoh susut 0.02 meter sehari sejak hampir dua minggu lalu.

Sementara itu di Pulau Pinang, bekalan air di dua empangan iaitu Empangan Air Itam dan Teluk Bahang masih mencukupi biarpun negeri itu tidak hujan lebih daripada seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) Jaseni Maidinsa berkata, bacaan kapasiti bagi Empangan Air Itam 68.3 peratus yang mampu membekalkan air kepada pengguna sehingga 67 hari.

Di Melaka, paras air di tiga empangan di negeri itu masih dalam keadaan baik dan bekalan air mencukupi untuk menampung pemintaan pengguna di negeri ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad Datuk Mohd Khalid Nasir.

Beliau berkata, Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah berada pada tahap kapasiti 65.65 peratus, Empangan Jus di Jasin berada pada paras 58.7 peratus kapasiti dan Empangan Asahan juga di Jasin berada pada kapasiti penuh iaitu 100 peratus. - BERNAMA

Disiarkan pada: July 1, 2015 @ 10:23am
d