mutakhir

Tiada kaitan air tebu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Pesakit yang terlantar di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan gambarnya menjadi ‘viral’ tersebar dalam media sosial disyaki mendapat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus, tetapi tiada kaitan dengan air tebu dibeli dari bazar Ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana semua rakan berkongsi air tebu dengan pesakit dalam keadaan sihat.

“Hasil pemantauan juga mendapati, sehingga kini tiada kes tambahan atau kluster dilaporkan berhubung kejadian risiko mendapat jangkitan leptospirosis melalui minuman air tebu dibeli di bazar Ramadan pada 23 Jun lalu.

“Media dan orang ramai diminta tidak mengganggu dan memberi ruang kepada ahli keluarga serta pesakit supaya rawatan dapat diberikan dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit terbabit dimasukkan ke pusat perubatan pada 26 Jun lalu selepas demam selama tiga hari, pening kepala, sakit perut, muntah dan cirit-birit.

Menurutnya, berdasarkan tanda klinikal, pesakit disyaki mendapat jangkitan leptospirosis, namun keputusan ujian makmal belum diperoleh.

“Siasatan lanjut berhubung punca jangkitan itu mendapati pesakit berkemungkinan dijangkiti leptospirosis ketika melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di Lata Lembek FELDA Tersang, Raub, Pahang bersama rakannya pada 13 dan 14 Jun lalu.

“Dimaklumkan, terdapat rakannya juga mengalami gejala demam dan sakit sendi, namun semuanya sudah sihat pada masa kini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahad lalu, tersebar di laman sosial gambar lelaki terlantar di ICU PPUM dan didakwa menghidap leptospirosis daripada air tebu dibelinya di bazar Ramadan.

Dr Noor Hisham berkata, siasatan dijalankan dan tindakan kawalan serta pencegahan dilaksanakan berhubung risiko kemungkinan jangkitan leptospirosis di air terjun terbabit.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, gejala atau tanda penyakit leptospirosis antaranya demam, sakit kepala, sakit badan, sakit sendi, batuk, loya, muntah, sakit perut, radang selaput mata dan jaundis.

“Orang awam dinasihatkan mengambil langkah pencegahan termasuk memilih premis makanan bersih, menjaga kebersihan persekitaran rumah, premis makanan dan tempat rekreasi supaya bebas daripada tikus dan haiwan perosak serta membuang sampah dan sisa makanan secara sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2015 @ 10:23am
d