mutakhir

Kongsi mi segera

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: “Kami sering kehabisan wang terutama jika keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan dan pada ketika itulah saya dan anak berkongsi makan mi segera bagi mengalas perut, ” kata ibu tunggal tujuh anak, Maslina Atan, 42.

Ibu tunggal yang berpisah dengan suami sejak 2013 itu meneruskan kehidupan bersama tujuh anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) lembam di rumah sewanya di blok G Pangsapuri Jasa Taman Mutiara Rini Skudai di sini.

Maslina berkata, dia disahkan menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi selain sejak enam bulan lalu mula menghidapi simptom serangan angin ahmar yang menyebabkan kesukaran bertutur.

“Saya menyara hidup di bulan Ramadan ini dengan menjual kuih di tingkat bawah rumah dan hasilnya jika laku sekitar RM70.

“Jika bulan lain saya berniaga menjual makanan ringan kecil-kecilan di tempat sama dan hasilnya juga sekitar RM80 sehari dan hanya itulah wang yang digunakan untuk menyara kehidupan saya bersama empat anak berusia 19 hingga sembilan tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Maslina berkata, dia pernah memohon bantuan daripada pejabat Baitulmal sejak awal tahun ini dan belum mendapat jawapan selain bersyukur kerana jiran tetangga sering membantunya termasuk memberikan makanan.

“Kadang-kadang apabila saya terlalu sakit saya hanya makan pil penahan sakit.

“Hendak ke hospital saya bimbang jika ditahan doktor kerana siapa yang hendak menjaga anak-anak di rumah sebab itu saya gagahkan diri juga untuk meneruskan hidup walaupun susah,” katanya.

Maslina berkata, akibat kesempitan hidup, bekalan elektrik di kediamannya sudah dipotong sejak lapan bulan lalu.

“Bil elektrik saya sudah mencecah RM1,200 dan bagi mendinginkan makanan dan minuman saya membeli ais untuk dimasukkan ke dalam bekas yang berfungsi sebagai peti sejuk,” katanya.

Maslina berkata, tiga anaknya yang berusia 23, 22 dan 21 tahun kini membawa diri dengan mencari rezeki di Kuala Lumpur selain di Taman Universiti Skudai.

“Anak sulung lelaki berkerja sebagai jurujual di ibu negara dan dia yang menolong saya membayar sewa rumah setiap bulan selain memberi sedikit wang belanja.

“Anak kedua menghidapi penyakit tibi dan baru saja sembuh, tetapi sekarang masih menunggu peluang kerja manakala anak perempuan yang ketiga bekerja sebagai pembantu di sebuah hotel bajet di Taman Universiti sejak sebulan lalu,” katanya.

Kisah keluarga Maslina ini mendapat perhatian persatuan Amal Team Johor dan We Love Charity cawangan Johor yang akan membantu membuat permohonan bantuan dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Presiden Amal Team Johor, Romzi Abd Aziz berkata, pihaknya sudah menziarahi keluarga Maslina dan menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan bebannya selain akan turun sekali lagi untuk bergotong royong membersihkan rumahnya pada Ahad ini.

Disiarkan pada: July 1, 2015 @ 10:29am
d