mutakhir

Dua daripada 20 kes pusaka waris setuju bermuafakat

Kuala Lumpur: Tidak ramai waris harta pusaka sanggup menolak bahagian mereka kepada pihak lain kerana ia dianggap ‘rezeki terpijak’.

Penasihat Kumpulan Syarikat Wasiyyah Shoppe Ariffin Sabirin berkata, berdasarkan pengalaman pihaknya, hanya dua daripada 20 kes pusaka, waris bersetuju bermuafakat mengenai formula pembahagian, melepaskan bahagian masing-masing dan tidak mengikut hukum faraid.

“Bakinya pula, sama ada waris bersetuju pembahagian dibuat mengikut hukum faraid atau berbalah berkenaan dengannya,” katanya.

Beliau berkata, permuafakatan antara waris untuk membahagikan harta pusaka mengikut apa saja formula yang dipersetujui secara bersama sebenarnya menambah perasaan kasih sayang dan hormat sesama mereka.

“Walaupun Allah SWT menetapkan bahagian waris yang berhak ke atas harta pusaka di dalam Surah An-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176, namun mereka boleh bermuafakat mengenai kaedah pembahagian.

“Ia bukan saja boleh dibuat dalam bentuk membahagikan harta pusaka secara sama rata malah mereka yang berhak juga boleh memilih menolak bahagian dan menyerahkan kepada mana-mana waris yang dikehendaki.

“Kesan positif daripada tindakan ini ialah isteri si mati akan lebih menghormati ibu bapa mentua, sekali gus merapatkan lagi hubungan silaturahim, hormat menghormati dan kasih sayang,” katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2015 @ 10:49am
d