mutakhir

Longgokan enjin berasap

Klang: Tindakan pantas dan kecekapan anggota bomba mengawal kebakaran menyelamatkan sebuah kilang alat ganti kereta terpakai di Kampung Batu Belah, di sini, daripada musnah dalam kejadian, malam kelmarin.

Kebakaran jam 9.30 malam itu, dipercayai bermula dari kawasan longgokan enjin yang mempunyai takungan minyak dan tayar.

Bagaimanapun, kedudukan kilang berkenaan yang agak jauh dari pili bomba dan sumber air menyukarkan bomba memadam api sehingga terpaksa menggunakan khidmat lori tangki air.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 9.47 malam.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Kota Raja dan Pelabuhan Klang dengan 14 anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk mengawal api.

“Kami terpaksa meminta pertolongan daripada jentera membawa tangki air daripada BBP Pelabuhan Klang berikutan sumber air yang jauh di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, api dapat dikawal dalam masa 20 minit dan hanya 10 peratus kawasan kilang terbakar membabitkan 54 meter persegi selain tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Mohd Sani berkata, punca kebakaran masih disiasat, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada takungan minyak yang mudah terbakar di sekitar kawasan kilang berkenaan.

Disiarkan pada: July 1, 2015 @ 11:02am
d