mutakhir

Kasihnya wanita, isteri dan ibu...

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Apabila berada pada bulan yang mulia ini, kenangan lama sewaktu berusia tujuh tahun kembali singgah di kotak fikiran. Menerawang nostalgia lama seolah-olah tiupan bayu menyapa bibiran pantai.

Selepas 27 tahun peristiwa suka duka itu berlalu, ia masih lagi segar di ingatan. Mudah-mudahan ia akan tetap terpahat kukuh sebagai khazanah pedoman, sekali gus membangkitkan daya juang membina keluarga diredai Allah.

Beginilah kisahnya. Pada suatu petang Ramadan, keasyikan saya melakukan kerja sekolah yang cikgu berikan terhenti seketika lantaran mendengar suara ibu di dapur.

“Along, mari tolong mak sekejap,” pinta ibu saya. Tanpa banyak soal, saya bergegas ke dapur menyahut panggilannya.

“Ambil pisau ni dan tolong potong daun pandan yang ada di belakang rumah kita ni. Mak nak gunakan dalam masakan pengat pisang kegemaran ayah kamu berbuka nanti,” beritahu ibu.

Selesai memotong daun pandan, saya meneruskan semula kerja sekolah berkenaan.

Biasalah apabila petang, kami adik-beradik saling membantu ibu di dapur. Apa yang disuruhnya, kami lakukan. Semangat bekerjasama terpancar dan tiada tolak-menolak ataupun dengki-mendengki.

Kami lakukan dengan rasa gembira, apatah lagi apabila emak memberitahu yang dia hendak membuat kuih atau masakan kegemaran untuk berbuka puasa nanti. Makin bersemangat jadinya.

Kenangan kedua yang juga tidak mungkin untuk saya padamkan dalam kenangan sepanjang hayat ialah komitmen tinggi ditunjukkan oleh ibu saya tatkala membangunkan kami untuk bersahur.

“Along, bangunlah sayang. Bangunlah, kita makan sahur bersama emak dan ayah kamu,” lembut tutur kata ibu. Jari-jemarinya menyentuh lembut ke tubuh saya, lambang betapa kasihnya seorang ibu kepada anak.

Kami dengan liatnya bangun. Mata terkebel-kebel berselimutkan rasa mengantuk dan malas. Namun pujukan ibu dituruti juga.

Kini, apabila bergelar suami dan bapa kepada tiga cahaya mata, ingatan itu kembali segar, apatah lagi tatkala melihat si isteri menyiapkan lauk dan kuih-muih di dapur.

Tahulah saya betapa susah dan mencabarnya tugas seorang isteri dan ibu saya dulu sewaktu Ramadan.

Jika dulu, saya tujuh beradik yang membantu ibu di kampung, tetapi kini giliran tiga anak saya yang membantu ibunya pula.

Alhamdulillah, mereka bertiga iaitu Ahmad Fauwaz, Amna Fahimah dan Ammar Fayyadh menunjukkan sikap mentaati ibu bapa mereka.

Betapa tinggi bakti dan budi seorang ibu kepada anaknya dan isteri kepada suaminya. Betapa besarnya pahala di sisi Allah terhadap pengorbanan yang dicurahkan.

Ketika terkenangkan ibu saya dulu yang memasak di dapur dan kini menyaksikan pula isteri, maka teringatlah saya kisah puteri kesayangan Rasulullah SAW, Fatimah iaitu isteri kepada Saidina Ali bin Abi Talib RA.

Puteri Rasulullah SAW ini diceritakan ketika menyediakan masakan di dapur untuk anak dan suaminya menggendong Hasan di sebelah kanannya, Husin pula dipimpin di sebelah kirinya.

Bibirnya sentiasa membaca tasbih. Bayangkanlah bagaimana setia dan ikhlasnya Fatimah! Tidak hairanlah ayahandanya, Rasulullah SAW terlalu sayang dan cinta kepadanya.

Akhir kata, hayatilah sabda Rasulullah SAW diriwayatkan Nasai mafhumnya: “Isteri terbaik ialah yang menggembirakan jika dipandang, yang mematuhi apabila disuruh dan yang tidak pernah melakukan perkara dibenci pada diri ataupun hartanya.”

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: July 2, 2015 @ 9:35am
d