mutakhir

Tiada rakyat Malaysia terbabit nahas pesawat Hercules

Putrajaya: Konsulat Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat Hercules (C130) yang terhempas di Medan, Indonesia, semalam.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, bagaimanapun, kementerian melalui Konsulat Jeneralnya di Medan akan terus memantau situasi ini.

“Malaysia berdukacita di atas nahas udara membabitkan sebuah pesawat Tentera Udara Republik Indonesia di Medan, Sumatera kelmarin.

“Malaysia ingin menyampaikan ucapan takziah dan belasungkawa kepada Kerajaan dan rakyat Republik Indonesia, khususnya keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.

Menurut kenyataan itu, orang awam yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan di talian 00 62 81260360008 dan Pegawai Bertugas Kementerian Luar di talian 03-88874570 atau 03-888 74 770.

Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya 116 dikhuatiri maut selepas pesawat milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan Medan Sumatera Utara selepas dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Saewondo Kota Medan.

Disiarkan pada: July 2, 2015 @ 9:43am
d