mutakhir

'Mr Mark' dalang utama

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hafidzul Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan dalang yang bertanggungjawab merompak dan melarikan kapal tangki MT Orkim Harmony 11 Jun lalu, membabitkan warga Singapura dikenali sebagai ‘Mr Mark’.

Difahamkan suspek disyaki merancang dan mengambil hasil rompakan untuk dijual semula kepada pembeli lain.

Sumber berkata, suspek turut dipercayai mempunyai ‘tali barut’ dalam kalangan kapten kapal bagi memudahkan kegiatan serta membocorkan maklumat.

“Malah, ada kemungkinan penjenayah laut itu bersekongkol dengan lanun berasal dari Batam, Indonesia untuk melakukan rompakan kapal tangki Malaysia.

“Siasatan turut mendapati suspek berkemungkinan menggunakan kapal tangki untuk mengangkut bot milik lanun sebelum dibawa ke lokasi sasaran. Kaedah ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan kehadiran lanun di laut yang menjadi laluan utama kapal tangki,” katanya.

“Pihak berkuasa juga sedang menyiasat pembabitan tekong bot tempatan yang pernah ditangkap kerana terbabit dalam rompakan Kapal MV Express 3 di Pulau Pisang, Johor pada 13 Julai tahun lalu,” katanya.

Dia berkata, pihaknya turut mendapat maklumat berhubung pembabitan seorang lagi suspek warga Singapura dikenali sebagai ‘Peter’ yang terbabit merancang rompakan di Wilayah Selatan.

“Selain itu pihak berkuasa Malaysia turut mendapati kumpulan lanun Deni dan seorang lelaki Indonesia bernama ‘Abob’ turut mendalangi beberapa rompakan di laut.

“Semua mereka ini menetap di Pulau Batam, Indonesia dan diyakini masih bergiat aktif dan menanti peluang,” katanya mengulas kejadian rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony membawa petrol dari Pelabuhan Klang, Selangor, pada 11 Jun lalu.

Kapal itu bagaimanapun ditemui di perairan Vietnam pada 18 Jun lalu dengan kesemua 22 anak kapalnya selamat.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pihaknya kini sedang menunggu pihak berkuasa Vietnam menghantar lapan lanun yang merompak MT Orkim Harmony ke Malaysia.

“Kami menjangkakan proses terbabit selesai dalam tempoh dua minggu berikutan kami mendapat kerjasama baik daripada Vietnam.

“Kami juga menambah kira-kira 10 kapal dan pesawat APMM untuk menjalankan rondaan lebih kerap di perairan Malaysia bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Ahmad Puzi berkata, beberapa siri operasi turut dijalankan pihaknya bagi mengekang kegiatan lanun terus berlaku di perairan Malaysia.

Harian Metro sebelum ini turut mendedahkan kewujudan kumpulan lanun membabitkan Geng Wak Yon, Geng Wak Jet, Geng John, Geng Dapit, Geng Deni, kumpulan Asmi dan Geng Johar yang kerap melakukan rompakan di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Disiarkan pada: July 2, 2015 @ 9:59am
d