mutakhir

Derita jangkitan kuman

Kuala Lumpur: “Saya rasa bersalah kerana arwah tersedak selepas saya memberi dia minum air. Dia kemudian sesak nafas dan terus kaku hingga saya tak tahu nak buat apa.”

Demikian kata Yusnita Yusof, 57, isteri kepada penyanyi veteran Samsudin Lamin, 76, yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Setia, Rawang, pagi semalam.

Samsudin yang popular dengan lagu Melayu Asli seperti Sri Siantan dan Titisan Embun Pagi meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada jam 7.40 pagi.

Yusnita ketika dihubungi berkata, selepas minum suaminya tiba-tiba sesak nafas sebelum rebah di pangkuannya.

“Arwah tiba-tiba pengsan di pangkuan saya dan apabila doktor tiba arwah sudahpun meninggal dunia,” kata ibu kepada empat anak ini.

Yusnita berkata, dia tidak tahu bagaimana kehidupannya selepas ini, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Difahamkan, tahap kesihatan Allahyarham merosot hingga tidak mampu berjalan sejak penghujung Mac lalu.

Menurut Yusnita, suaminya pernah dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana patah tulang pinggul akibat terjatuh dan turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 20, Kuang, selepas solat Zuhur, semalam.

Disiarkan pada: July 2, 2015 @ 10:06am
d