mutakhir

Pemandu teksi berang makanan habis dibelasah anak

Kuala Lumpur: Tindakan seorang pemandu teksi memarahi isterinya mengundang padah apabila dia dibelasah anak lelakinya menggunakan topi keledar di rumahnya.

Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, mangsa turut ditumbuk di muka sejurus pulang ke rumah di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini.

Sumber berkata, suspek yang kepenatan dikatakan berang selepas mendapati juadah makan malam di dapur habis dimakan.

“Berikutan itu mangsa dikatakan memarahi isterinya kerana tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Bagaimanapun anak lelaki mangsa dikatakan berang melihat ibunya diherdik bapanya. Suspek kemudia menumbuk muka bapanya bertubi-tubi,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 20-an itu turut memukul kepala mangsa berulang kali menggunakan topi keledar.

“Susulan kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian bibir dan telinganya akibat dipukul berulang kali.

“Difahamkan suspek terus menghilangkan diri sebaik memukul bapanya kerana bimbang ditahan polis sejurus kejadian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pantai di sini.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut dijalankan.

Disiarkan pada: July 2, 2015 @ 10:08am
d