mutakhir

Tak sempat jual mercun

Kuantan: Niat dua individu dipercayai suami isteri mencari wang lebih dengan menjual mercun di sekitar daerah ini mengundang padah apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan di Kilometer 19, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berhampiran Gebeng dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu disedari anggota dari Balai Polis Gebeng yang melakukan sekatan jalan sebelum melihat pasangan berusia 32 dan 42 tahun itu menaiki sebuah Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya kemudian meminta pemandu kenderaan itu berhenti di tepi jalan untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah mercun pelbagai jenis yang disorok di tempat duduk belakang dipercayai mahu dijual di sekitar daerah ini sempena musim perayaan kali ini.

“Antara mercun dirampas ialah mercun bola, ketupat, Tomahawk, Thunder dan mancis, namun jumlah keseluruhan barang dirampas itu masih dalam siasatan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pasangan terbabit masing-masing berasal dari Kampung Bharu, Kuala Besut, Terengganu dan Perkampungan Cenderawasih di sini, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kemungkinan kedua-dua suspek baru mengambil bekalan daripada pembekal di Terengganu sebelum pulang ke daerah ini untuk dijual kepada orang ramai.

“Polis turut merampas kenderaan digunakan bagi siasatan lanjut selain mengenal pasti pembekal mercun berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2015 @ 10:09am
d