mutakhir

Jel 12 tahun

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: “Kamu patut rasa bertuah kerana mahkamah turut mengambil kira faktor usia kamu sebelum menjatuhkan hukuman,” tegas Hakim Ahmad Bache di Mahkamah Tinggi, semalam.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang buruh, Ismail Tuan Yaacob, 58, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan miliki kanabis seberat 1,916 gram, Julai tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 22 Julai 2014.

Ahmad berkata, mahkamah mahu memberi peluang kepada tertuduh menghabiskan sisa hidup bersama keluarga selepas selesai menjalani hukuman penjara nanti.

“Bagaimanapun, mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan awam untuk melambangkan betapa serius kes pemilikan dadah ini bagi menjadi iktibar kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Selepas membuat penilaian maksimum terhadap hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap kamu,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berkenaan di tepi Jalan Wakaf Stan di sini, kira-kira jam 8.30 malam hari berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh yang memandu Proton Wira Aeroback selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan dalam kereta tertuduh menemui dua bungkusan plastik cerah mengandungi ketulan mampat disyaki dadah.

Disiarkan pada: July 3, 2015 @ 8:40am
d