mutakhir

Berbuka ala piknik

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Apabila tiba Ramadan, warga bandar raya ini tidak melepaskan peluang mencari kelainan berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Tinjauan Harian Metro mendapati penduduk sekitar bandar raya ini tidak melepaskan peluang menikmati juadah berbuka di kawasan lapang bersama rakan dan keluarga.

Pengunjung Mafuza Mohd Ali, 28, berkata, berbuka beramai-ramai ini ‘acara wajib’ dilakukan sama ada bersama rakan atau keluarganya setiap tahun dan biasanya hujung minggu.

“Seronok melihat orang ramai bersama-sama berbuka puasa, lebih-lebih lagi tahun ini suami bekerja di Sabah, jadi saya mengajak rakan berbuka di sini selepas membeli juadah di bazar berdekatan.

“Lebih meriah apabila di sini terdapat tazkirah sebelum berbuka, selepas berbuka terus solat jemaah dan lepas Isyak ada Tarawih, malah ada juga yang mengedarkan nasi dan air percuma,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata, kawasan padang dan sekitar Dataran Kemerdekaan menjadi lokasi popular untuk masyarakat khususnya warga Shah Alam untuk berbuka puasa.

“Lokasi dataran yang lapang dan mendamaikan amat sesuai untuk dijadikan lokasi berbuka, namun begitu MBSA memohon kerjasama orang ramai supaya dapat menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di merata tempat.

“Plastik, kertas pembalut makanan dan sisa makanan hendaklah diikat kemas dan dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: July 3, 2015 @ 9:15am
d