mutakhir

3 kali tukar pengakuan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM15,000 kepada seorang Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan menerima rasuah bernilai RM7,572 daripada dua pengusaha syarikat pasir pada 2011 dan 2012.

Tertuduh Muhammad Sharwani Ramli, 36, diperintahkan Hakim Rihaida Rafie membayar denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menghadapi hukuman penjara 10 bulan keseluruhan jika gagal membayar semua denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Sharwani didakwa menerima cek bernilai RM1,500 dengan tiada balasan daripada Hoong Chee Mun yang dia mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya sebagai penjawat awam pada jam 9.30 pagi, 19 Disember 2011.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, Muhammad Sharwani didakwa menerima wang tunai RM1,500 dan RM1,124 daripada Hoong Yoet Ming kira-kira jam 2 petang pada 23 Februari dan 31 Mei 2012.

Tertuduh turut menerima sekeping cek bernilai RM1,000 pada jam 2.30 petang, 14 Jun 2012 serta wang tunai bernilai RM2,448 jam 2 petang, 2 Julai 2012 daripada Yoet Ming.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat pasir berkenaan di No 168, Jalan Pasir Puteh, Kinta dekat sini manakala tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh pernah membuat pengakuan bersalah bagi semua tuduhan ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada awal Disember lalu tetapi meminta penangguhan seminggu tetapi mengubah pengakuan kepada tidak bersalah apabila mahu dihukum pada bulan sama, sebelum kembali menukar pengakuan kepada bersalah semalam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran manakala tertuduh diwakili Dayang Nor Emilia Azman Shah.

Disiarkan pada: July 4, 2015 @ 7:19am
d