mutakhir

Penangan ribut

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Sebahagian peniaga bazar Ramadan di Pantai Klebang, di sini, terkedu apabila khemah mereka ranap diterbangkan ribut, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, hujan lebat yang kemudian disusuli ribut menyebabkan pelbagai khemah berukuran 6x6 meter diterbangkan hingga ada yang patah tiangnya.

Seorang mangsa, Kamis Bachik, 65, berkata, dia kerugian kira-kira RM100,000 berikutan khemahnya yang menempatkan peralatan alat solek musnah dalam kejadian itu manakala sebuah lagi khemah yang menempatkan pakaian raya juga turut rosak.

“Saya tinggal di Sungai Udang dan subuh tadi (semalam) memang hujan lebat, namun saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 7 pagi.

“Saya hanya mengetahui kejadian ini kira-kira jam 7 pagi tadi ketika saya melawat isteri di Hospital Melaka. Berikutan itu, saya berkejar ke sini dan terkejut melihat kerosakan teruk yang dialami di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.

Sementara itu, pekerja premis makanan segera yang membuka gerai jualan di situ, Akmal Henra, 24, berkata, dia hanya menyedari mengenai keadaan di situ selepas membaca mesej dalam kumpulan WhatsApp antara peniaga.

“Barang seperti pencuci mulut, aiskrim yang disimpan dalam peti sejuk beku semuanya rosak kerana kabel elektrik yang disambung terputus,” katanya.

Muhd Hakimi Norazli, 25, yang membuka perniagaan bundle seluar jean pula terpaksa menjemur semua pakaian selepas khemah miliknya diselak angin sehingga dibasahi hujan.

“Saya bersama dua lagi rakan yang tidur dalam khemah berasa amat takut dengan ribut yang tiba-tiba datang selepas hujan.

“Apa yang kami mampu lakukan hanyalah terus tinggal di bawah khemah kerana bimbang terkena tiang besi khemah lain yang berterbangan,” katanya yang menganggarkan nilai seluar jean dalam khemahnya sebanyak RM12,000.

Peniaga lain, Muhammad Zaki Masrap, 27, yang berniaga kerepek dan kuih raya pula terpaksa meminta kebenaran majikan di kilang untuk keluar membersihkan khemahnya yang turut terjejas.

“Apabila saya datang kira-kira jam 10 pagi, habis kuih-muih dalam keadaan tunggang-langgang, malah ada kerepek yang rosak gara-gara plastik besar terkoyak,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2015 @ 7:32am
d