mutakhir

30 anak yatim beli-belah di Giant

Kuching: Kegembiraan terpancar di wajah 30 anak yatim yang menyertai aktiviti membeli-belah Program Tautan Kasih Ramadan anjuran GCH Retail (Malaysia) di Pasaraya Besar Giant Tabuan di sini, semalam.

Seorang penerima sumbangan, Mohd Haziq Musa, 14 berkata, dia teruja dan bersyukur kerana berpeluang membeli-belah persiapan Aidilfitri di Giant kerana banyak pilihan ditawarkan.

“Aidilfitri kali ini lebih bermakna untuk saya kerana dapat kelengkapan Aidilfitri serba baru. Saya dan rakan gembira kerana berpeluang memilih pakaian yang disukai.

“Terima kasih kepada Giant kerana pemberian ini sangat bermakna untuk kami,” katanya.

Ketua Operasi GCH Retail Malaysia Timur Marius Knight berkata, program itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikatnya bagi membantu komuniti yang memerlukan di negeri ini.

“Bantuan dihulurkan itu diharap dapat meringankan beban ditanggung golongan memerlukan.

“Program ini julung kali diadakan di Sarawak dan akan dibuat berterusan sebagai usaha mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat,” katanya ketika menghadiri program itu, semalam.

Semua anak-anak yatim menerima sumbangan RM10,000 untuk digunakan bagi membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri di pasar raya berkenaan.

Selain sumbangan untuk anak yatim, Giant turut mengagihkan 6,000 bungkusan bubur lambuk kepada pelanggan yang berkunjung ke pasar raya itu.

Disiarkan pada: July 5, 2015 @ 5:19am
d