mutakhir

Kuih raya hangus

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: “Baju dan kuih raya hangus terbakar. Aidilfitri buat kami sekeluarga pada tahun ini sudah tidak bermakna lagi,” kata Engku Zan Engku Abdullah, 40, mangsa kebakaran di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, rumah sewa yang mempunyai empat pintu itu terbakar seratus peratus, dipercayai berpunca daripada litar pintas akibat kerosakan pendingin hawa sebuah rumah.

Engku Zan berkata, kejadian disedari selepas anak keduanya yang berusia empat tahun enggan tidur dan memberitahu terlihat api di dalam bilik di tingkat atas.

“Saya baru balik solat Tarawih jam 10.30 malam dan anak mengadu tidak dapat tidur kerana panas dan ternampak api. Saya naik untuk periksa dan terkejut mendapati api sedang marak membakar bilik kedua.

“Saya kemudian segera membawa isteri dan anak keluar dan cuba masuk kembali untuk mengambil barang-barang lain, tetapi gagal,” katanya yang hanya sempat menyelamatkan beg tangan serta komputer riba milik isteri.

Bapa kepada lima anak itu berkata, berikutan kejadian itu dia mengalami kerugian hampir RM20,000 termasuk RM3,000 bagi persiapan hari raya mereka sekeluarga berupa baju dan kuih-muih yang sudah dibeli minggu lalu.

Meskipun tinggal sehelai sepinggang, dia tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga terselamat selain menganggap ia sebagai dugaan Ramadan.

Seorang lagi mangsa, Kasiyati Abdullah, 54, yang berkerusi roda selepas terbabit dalam kemalangan bulan lalu bersyukur kerana sempat diselamatkan oleh anak saudara yang menyedari kejadian selepas terbau asap kebakaran.

Sementara itu, semua mangsa menarik nafas lega selepas menerima penempatan baru hasil keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang meluangkan masa melawat mereka.

“Empat daripada lima keluarga ini ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggaran Bukit Jalil, manakala satu lagi di PPR Raya Permai. Mereka boleh berpindah ke sana hari ini atau selewat-lewatnya esok.

“Selain itu, sumbangan berupa wang tunai RM1,000 turut diberikan kepada setiap keluarga selain bantuan hari raya yang akan diserahkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2015 @ 5:22am
d