mutakhir

Gesa pihak buat dakwaan tampil bukti kukuh

Masyarakat digesa tidak bertindak melulu dan terus menghukum Datuk Seri Najib Razak susulan dakwaan media antarabangsa terhadap perdana menteri berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menarik perhatian bahawa dakwaan yang dilemparkan itu hanya berdasarkan laporan media yang belum disahkan kebenarannya.

Dalam kenyataan semalam, beliau menggesa pihak yang membuat dakwaan itu supaya tampil dengan bukti kukuh.

“Ini penting kerana dakwaan ini bukan saja membabitkan maruah dan kredibiliti perdana menteri, malah imej kerajaan Malaysia di mata dunia,” kata Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO.

Satu laporan The Wall Street Journal (WSJ) mendakwa Najib menerima sejumlah dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Hishammuddin seterusnya berkata beliau yakin pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan polis akan melakukan siasatan dengan adil dan tidak berpihak.

“Perdana menteri sudah mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara ini. Saya menyokong penuh dan tetap bersama beliau dalam ketegasannya untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat dakwaan tidak berasas,” katanya. – BERNAMA

Disiarkan pada: July 6, 2015 @ 8:27am
d