mutakhir

'Saya tak khianati rakyat'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Siti Fatimah Hassan

Semenyih: “Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan mengkhianati rakyat Malaysia dan harta benda milik rakyat Malaysia. Itulah janji saya,” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata demikian bagi menjawab serangan bertubi-tubi yang dibuat ke atas beliau berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) termasuk yang terbaru dakwaan media antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) bahawa dana hampir AS$700 juta (RM2.63 bilion) milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berterima kasih kepada sesetengah pihak kerana menolak tuduhan liar yang dilemparkan terhadapnya termasuk juga kenyataan yang dibuat Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din yang menyifatkannya sebagai tidak logik.

“Sehari dua ini, mereka bawa macam-macam cerita. Saya juga menjadi mangsa kepada serangan secara bertubi-tubi kononnya saya songlap wang masuk ke akaun peribadi.

“Saya berterima kasih ada ramai kata dia tidak percaya berita itu termasuk Haron Din yang mengatakannya tidak masuk akal

“Kita tidak boleh benarkan pihak luar menggugat dan menjatuhkan kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ikut suka hati mereka sebab kita dipilih rakyat dan kita dipilih dalam sistem demokrasi yang terbuka,” katanya ketika berucap sempena Majlis Iftar Rakyat Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching, di sini, semalam.

Beliau turut ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor selain turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar, Ahli Dewan Undangan (Adun) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel.

Najib sebelum ini menafikan pemindahan sebarang dana yang dikaitkan dengan beliau

Malah, beliau mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap ‘penipuan’ terbaru itu yang dikaitkan dengan beliau.

Selain itu, Najib berkata, biarpun isu 1MDB digembar-gemburkan ketika ini, namun ia tidak menjejaskan penilaian sistem penarafan antarabangsa Fitch Rating Agency dengan menaikkan kedudukan ekonomi Malaysia daripada negatif kepada stabil.

Katanya, menurut agensi itu, isu 1MDB tidak mendatangkan risiko kewangan secara sistemik kepada Malaysia.

“Apa juga isu seperti 1MDB mereka lihat tetapi ia tidak menjejaskan penilaian mereka.

“Mereka tetap katakan isu itu tidak mendatangkan risiko kewangan secara sistemik kepada Malaysia.

“Mereka juga yakin dengan pemulihan 1MDB dan sebab itulah mereka memberi markah yang lebih baik kepada Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2015 @ 8:29am
d