mutakhir

Kayuhan kasih

Oleh Hafizudin Mohd Safar

Padang Besar: Seramai 60 sukarelawan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) daripada Team Tayar Golek (TTG) mengayuh basikal bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM), di sini, malam kelmarin.

Konvoi kayuhan sejauh hampir 11 kilometer itu bermula jam 10.15 malam dari Masjid Ibnu Sina, Kampung Perawah, Bukit Keteri, di sini dan melalui Kampung Padang Lati, Jalan Santan, Kampung Ngulang dan Jalan Dato Kayaman sebelum singgah di lima rumah keluarga asnaf dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan.

Pengurus Baitulmal Perlis Mohd Nazim Mohd Noor berkata, aktiviti berbasikal sering dilakukan sukarelawan MAIPs bagi mendekati masyarakat dan dilihat lebih berupaya mendekati golongan asnaf dengan lebih efektif kerana dapat memasuki kawasan agak terpencil berbanding menggunakan kenderaan lebih besar.

"Kami dapat meninjau dengan dekat serta mendapatkan maklumat tepat mengenai situasi yang dialami setiap keluarga asnaf yang terdapat di negeri ini.

"Selain itu, berbasikal juga riadah ringan yang dapat dilakukan mana-mana individu selain mengeratkan silaturahim antara sukarelawan MAIPs," katanya.

Mohd Nazim berkata, program TKHM sangat bertepatan dengan masanya, tambahan pula diadakan dalam bulan Ramadan yang menganjurkan pemberian sumbangan serta bantuan kepada golongan memerlukan.

"Kunjungan Harian Metro melalui TKHM dilihat suatu kesinambungan terhadap usaha MAIPs untuk turun padang dan menyelami masalah rakyat tempatan dan menyampaikan bantuan kepada pihak memerlukan.

"Harian Metro agensi media yang sering membuat pendedahan dan merungkai masalah rakyat juga dilihat sebagai entiti penting sebagai penyampai maklumat supaya golongan yang memerlukan bantuan dapat didekati dengan lebih efektif," katanya.

Kayuhan amal TKHM, kelmarin turut disertai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs dan diiringi Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad Ab Latiff Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Hussin dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat.

Penerima bantuan asnaf, Salma Abdullah, 50, berkata, kedatangan pihak terbabit membawa keceriaan buatnya kerana sebelum ini tidak pernah didatangi mana-mana pihak menghulurkan sumbangan.

"Sejak suami meninggal dunia lebih 10 tahun lalu, kami sekeluarga tidak seceria dahulu setiap kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

"Namun, kehadiran TKHM sedikit sebanyak membawa kegembiraan buat kami. Saya dan keluarga turut berbesar hati kerana pihak THKM turut sudi singgah bersahur di laman rumah saya dan ia suatu kenangan yang tidak dapat kami lupakan," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2015 @ 8:57am
d