mutakhir

Maskot beruanglah!

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan sebuah syarikat menarik balik imej di papan iklan elektronik mereka di sekitar ibu kota berikutan dakwaan ia mirip seekor babi memakai songkok dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya’.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, imej terbabit sebaliknya seekor beruang yang menjadi maskot syarikat berpangkalan di Australia itu.

Beliau berkata, DBKL bagaimanapun mengarahkan syarikat itu menarik balik iklan bagi mengelakkan persepsi buruk orang ramai.

“Dakwaan disebarkan di laman sosial adalah tidak benar kerana imej itu ialah seekor beruang yang menjadi maskot syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati sebanyak 28 papan iklan elektronik itu dipasang di sekitar Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

Imej itu memaparkan ucapan Selamat Hari Raya dengan gambar haiwan memakai songkok dan samping dengan diselang selikan beberapa gambar lain.

Disiarkan pada: July 6, 2015 @ 9:45am
d