mutakhir

Rebat tol hingga 50%

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Pematuhan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebanyak 60 peratus perlu dicapai bagi memastikan keadaan trafik berjalan lancar, sekali gus dapat memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya ketika pulang ke kampung halaman.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, pihaknya menjangkakan seramai 1.6 juta pengguna lebuh raya akan pulang berhari raya di kampung halaman menjelang Aidilfitri ini berbanding 1.3 juta pengguna pada hari biasa.

“Peratusan yang diletakkan itu adalah relevan kerana tahun lalu kita hanya memperoleh peratusan sebanyak 36 peratus yang mematuhi TTA dan keadaan trafik sangat sesak sehingga malam.

“Jadi, kerjasama daripada semua pihak sangat diperlukan bukan saja untuk memudahkan perjalanan masing-masing malah boleh menjimatkan masa untuk sampai ke kampung halaman,” katanya pada Taklimat dan Sidang media Persediaan Operasi Plus hadapi Pertambahan trafik di lebuh raya sempena musim cuti perayaan, di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan jadual TTA, orang ramai yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor dinasihatkan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan antara jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Bagi pengguna yang menuju ke destinasi lain seperti Taiping, Kuala Kangsar, Gerik, Jasin dan juga Bandaraya Melaka dinasihatkan memasuki lebuh raya antara jam 11 pagi hingga 6 petang.

Pada masa sama, PLUS turut menawarkan rebat tol sehingga 50 peratus kepada pengguna lebuh raya itu yang membayar secara elektronik pada hari tertentu bermula 13 Julai ini sempena Aidilfitri.

Rebat tol itu ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada hari bukan puncak iaitu pada 13, 14, 15, 21, 22 dan 23 Julai untuk perjalanan jarak jauh melebihi 100 kilometer pada hari berkenaan.

“Rebat tol sebanyak 50 peratus itu akan diberikan pada 13 dan 23 Julai sahaja, manakala pada 14 dan 22 Julai, orang ramai akan menerima rebat tol 40 peratus, sementara rebat tol 30 peratus pula akan diberikan kepada orang ramai pada 15 dan 21 Julai.

“Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai pulang ke kampung sebelum Aidilfitri dan kembali selepas berhari raya,” katanya.

Orang ramai boleh membuat penebusan rebat tol apabila menambah nilai kad elektronik pada 15 Ogos hingga 14 November di semua pusat khidmat pelanggan Plus.

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:16am
d