mutakhir

Mencari reda, keampunan Ilahi

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Pada Ramadan, pengisian aktiviti seharian kita semuanya berkisar dengan ibadat. Betapa hidup kita dipenuhi dengan ibadat hanya kepada Allah sama ada yang sunat, apatah lagi ibadat fardu.

Kita beramal dan berbuat kebaikan demi reda dan keampunan daripada-Nya. Kita berusaha memenuhi tujuan utama diciptakan di atas muka bumi ini iaitu beribadat kepada-Nya.

Firman-Nya bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56)

Inilah tarbiah utama yang kita lalui dalam madrasah Ramadan. Bulan yang penuh mulia ini seolah-olah institusi yang sarat dengan program ibadat.

Setiap detik pada Ramadan ada keistimewaan luar biasa berbanding bulan lain. Kehidupan kita pada Ramadan ‘diprogramkan’ dengan sempurna agar menginsafi tujuan penciptaan di dunia ini.

Oleh itu, setiap amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini perlu diaplikasi dalam kehidupan, seterusnya pada bulan yang mendatang.

Ramadan bukan pesta ibadat bermusim, sebaliknya ia adalah satu platform tarbiah agar setiap Muslim dan Muslimah dilatih dan diingatkan untuk sentiasa melakukan kebaikan.

Ada banyak intipati tarbiah sepanjang madrasah Ramadan yang mendidik kita agar terus mengamalkannya dalam kehidupan seharian, meskipun selepas Ramadan melabuhkan tirainya kelak antaranya:

l

Menyemai semangat berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Sepanjang Ramadan, kita melakukan kebaikan sama ada kecil mahupun besar mengikut kemampuan masing-masing. Suasana inilah perlu diteruskan pada bulan lain.

Firman-Nya pada surah al-Baqarah, ayat 148 antara lain bermaksud: “Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.”

l

Menyedari betapa kehidupan ini terikat dengan masa.

Kehidupan pada Ramadan sangat terikat dengan masa. Bersahur, berbuka, solat fardu, bertadarus dan bangun malam untuk qiamullail. Jika kita tidak menghargai masa, banyak peluang untuk melakukan kebaikan yang akan kita lepaskan begitu saja.

l

Mendidik diri mengenai al-aulawiyyat.

Ramadan juga satu plat- form untuk kita memahami apa yang disebut sebagai al-aulawiyyat atau keutamaan. Ramadan men- didik kita untuk membuat pertimbangan betul dan wajar dalam segenap aspek kehidupan.

Sebagai contoh, pada Ramadan adanya ibadat wajib dan sunat. Kita ada solat fardu lima waktu dan solat sunat Tarawih.

Ada dalam kalangan kita yang bersungguh-sungguh menunaikan solat Tarawih, namun pada masa sama meninggalkan solat fardu lima waktu. Inilah perlakuan salah di sisi Islam.

l

Melakukan kebaikan dengan berjemaah.

Antara tarbiah madrasah Ramadan yang perlu kita hayati ialah kepentingan melakukan amal kebaikan secara beramai-ramai.

Lihat saja apabila kita menunaikan solat Tarawih dan bertadarus al-Quran. Ia dilakukan secara berjemaah dan keadaan inilah dituntut meskipun boleh saja kita melakukannya secara bersendirian.

Hakikatnya, Islam amat mementingkan kebersamaan. Hati kita berpaut antara satu sama lain dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Semangat inilah yang perlu kita terapkan dalam kehidupan walaupun selepas berakhirnya Ramadan. Mana mungkin umat Islam berpecah dan berpuak-puak kerana kita semua adalah umat yang satu.

Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku.” (Surah al-Anbiya, ayat 92)

Penulis ialah pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:24am
d