mutakhir

Amuk kereta depan dipandu perlahan

Kajang: Berang sebuah kereta dipandu terlalu perlahan, dua lelaki cuba menyerang seorang lelaki dengan parang dan besi pembuka tayar dalam kejadian, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, mangsa berusia 47 tahun bernasib baik kerana tidak dicederakan berikutan sempat membunyikan hon menyebabkan dua suspek terbabit melarikan diri.

Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa melalui kawasan lampu isyarat di persimpangan Jalan Langat Jaya, di sini, sebelum sebuah van dinaiki dua suspek memintas dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek dikatakan tidak berpuas hati ketika mengekori kenderaan mangsa yang dipandu secara perlahan.

“Ketika mangsa hendak membelok kenderaannya, tiba-tiba sebuah van dinaiki suspek memintas dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

“Seorang suspek kemudian menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa lalu turun dari kenderaan dengan membawa besi pembuka tayar,” katanya.

Willey berkata, seorang lagi suspek turut keluar membawa sebilah parang dan cuba menyerang mangsa yang ketika itu berada di dalam kenderaannya.

“Apabila suspek menghampirinya, mangsa terus menekan hon untuk menarik perhatian orang ramai di sekeliling kawasan itu.

“Tindakan mangsa menyebabkan dua lelaki ini panik lalu terus melarikan diri,” katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:29am
d