mutakhir

Simpulan ukhuwah

Oleh Hafizudin Mohd Safar

Padang Besar: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Edisi Khas Ramadan melabuhkan tirai dengan meriah di Masjid Jamek Beseri, di sini, kelmarin apabila lebih 600 tetamu hadir pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan sempena Ramadan.

Suasana bertambah ceria dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan isteri baginda Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang berkenan mencemar duli meraikan 150 anak yatim dan 60 keluarga miskin terutama mangsa banjir di kawasan itu pada hujung tahun lalu.

Pengerusi TKHM yang juga Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat berkata, Harian Metro menjunjung kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin yang bukan saja berkenaan memeriah majlis malah turut berkayuh basikal bersama sukarelawan menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur dan berbesar hati dengan kehadiran baginda berdua kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan istana dengan rakyat jelata.

"Kami bersyukur berjaya melaksanakan program TKHM edisi khas Ramadan yang juga terakhir tahun ini dengan baik dan lancar. Ini adalah antara cara kami mendekatkan diri dengan masyarakat selain berterima kasih kepada pembaca yang setia menyokong Harian Metro sehingga kekal di persada," katanya ketika ditemui, di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Ab Latiff Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Abdul Malik Hussin.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal Perlis, Mohd Nazim Mohd Noor dan Imam Masjid Jamek Beseri, Kamaruddin Ismail.

Othman berkata, program TKHM mendapat sokongan Takaful Ikhlas Berhad selaku penaja eksklusif yang bukan saja menyumbangkan wang ringgit, malah beberapa barangan untuk anak yatim dan golongan asnaf.

Menurutnya, program turut disokong oleh MAIPs dan mendapat tajaan daripada syarikat pembekal kurma Yusof Taiyoob, Hotel Seri Malaysia Kangar, Baitulmal Perlis, Sani Express Sdn Bhd, syarikat pembekal beras Kumpulan DCT Sdn Bhd, dR Rozmey Group (dRG Group) dan restoran nasi kandar Yasmeen.

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:43am
d