mutakhir

Ketua Geng 36 dicekup polis

Kuala Lumpur: Seorang ketua kongsi gelap Geng 36 digelar ‘Raj Boy’ dicekup sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.

Suspek berusia 30-an dilaporkan ditahan di sekitar Seremban 2 Julai lalu kira-kira jam 11 malam kerana dipercayai kembali aktif dalam kegiatan kongsi gelap selain jenayah terancang seperti pemerasan, ugutan, pergaduhan dan along.

Menurut sumber, selain Raj Boy, seorang lagi ketua kongsi gelap iaitu Geng 08 berusia 40-an turut dicekup pasukan sama.

Sumber memberitahu Harian Metro, kedua-dua suspek adalah individu yang paling dikehendaki Kontinjen Polis Negeri Sembilan.

“Selepas menerima maklumat awam selain risikan beberapa minggu, Bukit Aman menahan kedua-dua suspek di kawasan berasingan.

“Raj Boy ditahan pada 2 Julai lalu di Seremban manakala ketua kumpulan 08 pula ditahan sekitar Rembau sehari kemudian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek adalah bekas tahanan mengikut Ordinan Darurat (EO) dan dibebaskan selepas ia dimansuhkan.

“Sebaik dibebaskan dari EO hampir setahun lalu, kedua-dua suspek bukan saja kembali mengepalai kumpulan kongsi gelap masing-masing, malah memulakan aktiviti jenayah terancang sehingga menjejaskan keselamatan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Roslee Chik ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek terbabit.

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:45am
d