mutakhir

Seronok dapat pakaian baru raya

Batu Pahat: Kisah sedih Halimah Mat Din, warga emas berusia 94 yang mengharap bantuan dan simpati jiran untuk meraikan Aidilfitri selepas kematian suami 10 tahun lalu di Kampung Cahaya Baru di Ayer Hitam di sini, akhirnya mendapat perhatian ramai.

Kehadiran bekas kakitangan bank, Norhayati Abdullah, 56, ke teratak peninggalan arwah suami Halimah, Hussin Ali di kampung berkenaan, semalam menggembirakan warga emas itu.

Walaupun tiada pertalian darah namun semangat untuk membantu ditunjukkan Norhayati membuatkan Halimah sebak malah bukan sehelai baju, sebaliknya lebih daripada yang diminta.

Ternyata Aidilfitri tahun ini mampu membuat Halimah tersenyum lebar apabila keinginannya memakai pakaian baru mendapat perhatian Norhayati yang berasal dari Kluang itu.

Norhayati berkata, dia terpanggil membantu selepas terbaca kisah sedih Halimah yang disiarkan Harian Metro, minggu lalu sebelum tampil meringankan beban derita warga emas terbabit.

“Saya bantu seikhlas hati selepas membaca kisah sedihnya yang tidak pernah membeli pakaian baru setiap kali menjelang Aidifitri dan kisah hidupnya membuatkan hati saya tersentuh untuk membantu menggembirakannya.

“Seronok melihat mereka yang memerlukan kembali tersenyum tanpa membezakan siapa mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:47am
d