mutakhir

'Nasib baik tak kacau dodol'

Melaka: “Mujur kelmarin saya tidak mengacau dodol di kawasan itu, kalau tidak tentu saya sudah arwah,” demikian kata Ismail Zainal, 48, yang dikejutkan dengan kejadian sebuah kereta merempuh kedai makan di Bukit Piatu, di sini, jam 5 petang kelmarin.

Katanya, dia dan beberapa rakannya tidak mengacau dodol kerana mahu berehat dan tindakan itu menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 20 tahun terbabas dan hilang kawalan sebelum merempuh motosikal, kedai makan dan kedai runcit milik Asmadi Ahmad, 40.

Ismail berkata, kali terakhir mereka mengacau dodol di kawasan itu tiga hari lalu dan ketika kejadian, dia berada di rumah untuk berehat.

“Saya tergamam selepas mendapati kesan kereta terbabas itu melalui tempat kami mengacau dodol. Saya tidak dapat bayangkan apa akan berlaku jika berada di situ,” katanya.

Sementara itu, Asmadi berkata, ketika kejadian dia berada di dalam kedai makan dan amat bernasib baik kerana kereta yang dipandu wanita terbabit terhenti selepas melanggar tiang premis itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: July 7, 2015 @ 8:50am
d