mutakhir

Plat kereta jejak pencuri

Kajang: Seorang penganggur tidak sempat menjual alat pendingin hawa dicuri untuk membeli dadah apabila diberkas polis tidak sampai 24 jam melakukan jenayah.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, Sabtu lalu, suspek berusia 33 tahun mencuri peralatan pendingin hawa diletakkan di dalam sebuah van milik seorang pekerja di kawasan kediaman berhampiran Taman Desa Serdang, Balakong, di sini.

Ketika kejadian, bapa mentua mangsa yang berada di rumah melihat gelagat suspek berkeliaran di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, suspek kemudian memecah cermin belakang van berkenaan sebelum melarikan beberapa alatan penghawa dingin diperbuat daripada tembaga.

“Bagaimanapun, bapa mentua mangsa sempat mencatat nombor pendaftaran kereta Myvi dinaiki suspek.

“Susulan itu, lelaki terbabit menghubungi menantunya sebelum mereka membuat laporan,” katanya.

Berdasarkan maklumat nombor pendaftaran kenderaan diberikan itu, polis menjejaki dan memberkas suspek awal pagi kelmarin.

Disiarkan pada: July 8, 2015 @ 8:27am
d