mutakhir

'Cadangan helah semata-mata'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Cadangan pembangkang mahu mewujudkan kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) semata-mata helah mengambil kesempatan memerintah semasa BN dalam krisis ketika ini,” kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, kerajaan perpaduan yang disebut-sebut sebelum ini bukan daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, katanya, ia cita-cita pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat pertimbangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita kena lihat dulu apa kepentingannya kerana kalau sekadar BN ada krisis, itu tidak wajar,” katanya kepada Harian Metro.

Ahli Parlimen pembangkang semalam mengadakan ‘Persidangan Padang Kawad Parlimen’ membabitkan isu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan siasatan kononnya sejumlah wang berbilion ringgit dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Pada perhimpunan itu, Pengerusi Bersih Datuk S Ambiga mencadangkan kewujudan kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan demi kepentingan negara.

Perhimpunan yang matlamat asalnya mahu menghimpunkan semua Ahli Parlimen pembangkang dan BN bagi mendesak Najib bercuti sehingga siasatan selesai bagaimanapun tidak dihadiri wakil rakyat parti kerajaan.

Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini pun menyatakan hasrat bersatu dengan BN kononnya demi menyelamatkan Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Sedangkan PAS berkeras tidak berpadu dengan UMNO mewujudkan kerajaan.

Tetapi DAP menjadikan PAS sebagai kambing hitam kononnya parti itu mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Mohd Azizuddin berkata, BN masih menguasai Parlimen dengan majoriti mudah.

Beliau berkata, sehubungan itu hanya parti pemerintah berhak membuat keputusan bukan pembangkang.

Katanya, tiada keperluan BN menerima tawaran kerajaan campuran itu kerana tiada isu yang mendesak.

“Lainlah kalau ada agenda seperti masalah ketegangan kaum itu relevan,” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2015 @ 8:31am
d