mutakhir

Mulut dihentak lesung batu

Kajang: Seorang suri rumah pecah mulut selepas dipukul suaminya menggunakan lesung batu hanya kerana mangsa enggan membelikan telefon bimbit.

Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, mangsa berusia 34 tahun dipukul teruk hingga menyebabkan berlaku pendarahan di kediaman mereka di Taman Desa Serdang, di sini.

Difahamkan, suami mangsa berusia 38 tahun itu baru sebulan dibebaskan dari penjara selepas menerima hukuman selama empat tahun bersabit kes samun.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang anak lelakinya sedang berehat di rumah.

“Suspek yang pulang ke rumah tidak lama kemudian terus mengarahkan mangsa membelikannya satu telefon bimbit dengan alasan untuk kegunaan hariannya.

“Bagaimanapun isteri mangsa memberitahu tidak mampu membeli telefon bimbit kerana perlu membayar pelbagai hutang,” katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun bertukar ganas dan gagal mengawal kemarahan sebelum mengambil lesung batu di dapur.

“Suspek yang berang kemudian menghentak lesung batu itu ke mulut isterinya.

“Suasana tegang itu menyebabkan anak lelaki mangsa berusia 15 tahun terpaksa masuk campur bagi mempertahankan ibunya dari terus dipukul,” katanya.

Menurutnya, remaja itu bagaimanapun nyaris terkena pukulan di kepala apabila mangsa sempat mengelak.

“Suspek kemudian keluar dari kediamannya tanpa mempedulikan isterinya yang cedera. Mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2015 @ 6:57am
d